POLIS menerima sebanyak 18 laporan daripada pengguna jalan raya berhubung kenderaan mereka rosak dirempuh sebuah Mitsubishi Triton dipandu secara meluru dan berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Seberang Jaya, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan awal mendapati sebanyak 18 kenderaan rosak dalam kemalangan membabitkan pacuan empat roda itu, yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Suspek yang ditangkap sejurus selepas kejadian semalam direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan.
Pihak polis menerima laporan mengenai kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Mitsubishi Triton itu jam 10.05 pagi semalam di Lebuhraya PLUS.
Siasatan awal mendedahkan suspek didakwa memandu secara cuai dan berbahaya dari arah Sungai Dua menghala ke bahagian Pulau Pinang, lalu merempuh beberapa kenderaan di sepanjang laluan itu.
Lelaki itu berjaya ditahan oleh orang awam di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) berhampiran sebuah stesen minyak di Seberang Jaya, sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian.
Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sebuah beg silang yang mengandungi satu peket plastik lut sinar berisi bahan hablur kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat 0.75 gram.
Turut ditemukan, satu peket mengandungi 2.38 gram bahan disyaki ketamin.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan kemudiannya mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan morfin.
Semakan rekod polis turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dua rekod jenayah biasa.






