LIMA warga China cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam tapak projek pembinaan culvert sedalam tujuh meter di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai malam tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.50 malam apabila sebuah kereta jenis Toyota Prius yang dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun bersama empat penumpang dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh dengan berpandukan aplikasi peta navigasi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, kenderaan itu kemudian memasuki kawasan tapak projek pembinaan culvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam sebelum terjatuh ke dalam gaung.
“Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 12.01 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azuhar, kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang di kawasan kerja pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi, terutama ketika memandu pada waktu malam.
“Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat awal sehingga membolehkan tindakan pantas diambil bagi menyelamatkan mangsa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 09-975 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






