Lori sampah terbabas, hempap tiga kereta di Pantai Hillpark

SEBUAH lori sampah dipercayai mengalami kegagalan sistem brek sebelum terbabas dan menghempap tiga kereta yang diparkir di kawasan Kondominium Pantai Hillpark, Jalan Pantai Murni 1, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, pemandu lori berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada kaki kiri, manakala dua pekerja lelaki warga Bangladesh yang sedang menjalankan kerja mengutip sampah di kawasan berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sebelum menjalankan usaha mengesan pemandu lori yang tidak berada di lokasi kemalangan.

“Pemandu lelaki berusia 41 tahun itu berjaya dikesan ketika sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), HUKM.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan sedang bergerak di jalan lurus menuruni bukit sebelum dipercayai mengalami kegagalan sistem brek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kemudian dipercayai hilang kawalan sebelum lori melanggar tembok pagar kondominium.

“Bahagian hadapan lori kemudian terjatuh dan menghempap tiga buah kereta kosong tanpa pemandu yang diparkir di kawasan Kondominium Pantai Hillpark,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, kedua-dua pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 25 tahun tidak mengalami kecederaan kerana ketika kejadian mereka sedang menjalankan kerja mengutip sampah di atas jalan.

Katanya, pemandu terbabit hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 3.15 petang tadi untuk membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Ujian hembusan nafas yang dijalankan terhadap pemandu mendapati keputusan negatif alkohol.

“Lori berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here