Malaysia Adventure Trophy angkat Kelantan sebagai destinasi off-road utama negara

MALAYSIA Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025, kejohanan sukan lasak pacuan empat roda (4×4) bertaraf nasional telah membuka tirainya hari ini dengan penyertaan 150 peserta melibatkan pemandu, kru sokongan serta peminat sukan permotoran dari seluruh negara.

Majlis perasmian MAT Kelantan 2025 telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim di Taman Etnobotani di Gua Musang hari ini.

SALAH sebuah kenderaan pacuan empat roda dilepaskan pada majlis pelancaran program Malaysia Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025 di Taman Etnobotani di Gua Musang, Kelantan hari ini

Yang turut hadir, ADUN Nenggiri, Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Datuk Zawawi Othman; Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail dan Pengerusi Program, Thomas Foo.

Pengarah Operasi MAT Kelantan 2025, Atan Aris berkata, program itu bermula hari ini sehingga 1 Januari 2026 merentasi beberapa lokasi utama termasuk Gua Musang, Gua Ikan (Dabong), Kuala Krai, FMC Kelah Eco Park dan Istana Sangkut.

“MAT Kelantan 2025 dirancang bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi utama pelancongan pengembaraan dan sukan lasak negara.

“Pertandingan ini dipertandingkan dalam tiga kategori utama, iaitu Adventure, Trophy dan Open di mana setiap kategori bakal menguji ketahanan fizikal, kemahiran pemanduan teknikal, keupayaan navigasi serta kerjasama berpasukan dalam laluan hutan dan sungai yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Atan, program ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan peserta, pemanduan beretika dan pemuliharaan alam sekitar, selari dengan prinsip kelestarian serta amalan off-road yang bertanggungjawab.

“Selain merancakkan aktiviti sukan permotoran, MAT Kelantan 2025 dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti luar bandar, termasuk pengusaha kecil, penyedia perkhidmatan tempatan dan sektor pelancongan sepanjang tempoh penganjuran,” jelasnya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 1 Januari 2026 di Dewan Datuk Ariffin Said, Gua Musang, sebagai kemuncak kejohanan serta sempena sambutan Tahun Baharu 2026.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img