MALAYSIA menghormati penghakiman yang disampaikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Nov berhubung “Application of the Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide (The Gambia v. Myanmar)” , menurut Kementerian Luar pada Ahad.
“Hasil dapatan ICJ adalah selaras dengan pendirian Malaysia dalam melindungi semua golongan rentan yang terdedah kepada ancaman,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Kementerian itu turut menegaskan komitmen Malaysia untuk menjunjung undang-undang antarabangsa, termasuk tanggungjawabnya sebagai negara pihak kepada Konvensyen Genosid.
Malaysia juga akan mengadakan libat urus dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan pemegang taruh lain dalam perkara-perkara berbangkit daripada penghakiman ini.
“Malaysia akan terus memperjuangkan penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan bagi krisis yang berlarutan ini, termasuk dengan secara aktif melibatkan semua pihak berkaitan untuk melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi meringankan penderitaan komuniti Rohingya yang berlindung di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Kes berkenaan dibawa ke ICJ oleh Gambia pada November 2019 atas dakwaan Myanmar melanggar Konvensyen Genosid ketika operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya di Negeri Rakhine pada 2017, yang memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
Pada 19 Nov 2026, ICJ memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di utara Negeri Rakhine, sekali gus melanggar kewajipannya di bawah konvensyen berkenaan.





