
ISU pekerjaan dalam kalangan graduan sudah menjadi perbincangan hangat dan keresahan masyarakat, media, majikan dan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Semuanya berlegar tentang ketidakpadanan kemahiran, gaji permulaan yang rendah, serta kekurangan kemahiran insaniah meskipun kadar kebolehpasaran diuar-uarkan keseluruhan adalah tinggi. Antara penyelesaian kepada masalah ini ialah menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya dalam kalangan graduan TVET dengan meletakkan proses pembudayaannya secara serius ketika di dalam latihan lagi.
Bagi saya, perkara ini bukanlah baru kerana saya pernah menjalankan program khas Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia (SKLKSM), BCIC-2 sejak tahun 2006 lagi.
Pada tahun 2008 hingga 2012, satu model dan modul khusus keusahawanan dalam TVET diperkenalkan di bawah SKLKSM yang menggabungkan 5 buah pusat latihan dengan penglibatan 7,000 pelatih secara wajib perlu mengikuti Latihan Asas Keusahawanan (LAK), selain bidang teknikal dan vokasional masing-masing.
Memandangkan keusahawanan ketika itu bukanlah pilihan dan budaya di kalangan graduan TVET, maka sasaran (KPI) yang diberikan hanyalah dalam 10 peratus untuk memastikan pencapaian pelatih yang akan memulakan perniagaan sebaik sahaja tamat latihan. Alhamdulillah tercapai.
Pada tahun 2009, satu jenama khas usahawan TVET ini dikenali sebagai Usahawan Terampil (UTRA) dengan mengambil pendekatan penilaian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang mereka ikuti meletakkan pencapaian ‘Terampil’ sebagai penanda aras pencapaian dalam penilaian kemahiran pelatih. UTRA telah dirasmikan oleh Datuk Jacob Dungau Sagan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika itu kerana program SKLKSM berada di bawah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), MITI.
Harapan ketika itu ialah untuk melihat keusahawanan akan terus menjadi kerjaya pelatih sebaik sahaja tamat latihan atau mereka bekerja untuk menimba pengalaman dahulu, sebelum menjadi usahawan kemudian hari.
Setelah hampir 20 tahun berlalu, kini sebahagian peserta itu berjaya dijejaki dan ternyata ramai juga yang sudah bergelar usahawan berjaya dan berniaga dengan pendapatan mencecah jutaan ringgit. Bagi saya, model yang sudah dilaksanakan dengan baik suatu masa dahulu dan terbukti berkesan, perlu diteruskan dan diperkasakan melalui pendekatan latihan,bimbingan dan pemantauan.

Saya juga berpandangan, usaha ini lebih mudah pada hari ini memandangkan generasi muda sekarang sudah mempunyai platform perniagaan yang bersifat digital dan industri gig yang membolehkan mereka untuk memilih keusahawanan sepenuh masa atau sebaliknya.
Sepertimana Islam menjanjikan perniagaan sebagai punca kekayaan (9/10 rezeki daripada perniagaan), maka budaya makan gaji di kalangan graduan TVET bukan sahaja menyukarkan peluang pekerjaan tetapi juga gagal meningkatkan pendapatan kepada berpendapatan tinggi.
Dalam konteks hari ini, pengalaman saya sendiri membuktikan bahawa dengan kemahiran TVET jangka pendek (life long learning) pun sudah memadai untuk mewujudkan keusahawanan di kalangan graduan TVET. Malah lebih cepat, cekap, jimat dan berkesan.
Saya tidak bercakap kosong, malah boleh membuktikan keberhasilannya dalam konteks usahawan individu, komuniti dan rantaian perniagaan yang dihasilkan melalui program My TVETprenuer saya di seluruh negara.
Antara yang menjadikannya sebagai penanda aras ialah Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Negara (baru bersara beberapa bulan lalu) dengan melihat model usahawan Rantaian Bekalan Ikan Air TAwar di Kampar, Perak dan program keusahawanan membasmi kemiskinan di Labuan pada Jun lalu. Usahawan-usahawan ini dihasilkan melalui program sepenuh masa SKM (2 tahun) dan kursus pendek (3 bulan).
Dunia yang semakin berubah, rencam dan mencabar kini memerlukan kita mengubah cara bekerja dalam menguruskan graduan TVET.
Mengikut data raya TVET Nasional Malaysia (Analitik Deskriptif 2026, enrolmen tahunan TVET di bawah 15 institusi awam dan swasta mencatatkan seramai 354,307 pelajar TVET keseluruhannya dengan graduan yang tamat pengajian seramai 62,000 orang setiap tahun.
Jumlah yang meningkat saban tahun ini berdepan kekangan peluang pekerjaan, kepadanan dan kadar gaji yang ketara menyebabkan kita perlu menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya graduan TVET.
Jika perbandingan peringkat antarabangsa dilakukan dalam keusahawanan dalam kalangan graduan TVET banyak dihasilkan di negara-negara sedang membangun akibat kekangan peluang makan gaji di sektor formal yang mendorong sebahagian besar graduan vokasional dan kemahiran terus membina perniagaan mikro serta kecil sebaik sahaja tamat latihan seperti Uganda dan Sub-Afrika (contoh Nigeria dan Kenya).
Mengikut Laporan World Economic Forum (WEF) kadar penglibatan keusahawanan di kalangan graduan TVET bagi Uganda pernah mencatatkan kadar aktiviti keusahawanan tertinggi di dunia (sekitar 28.1% daripada populasi). Manakala laporan pembangunan oleh TVET Journal menekankan bahawa di Uganda,Nigeria dan Kenya, graduan TVET merupakan pemacu utama penubuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembinaan, automotif, dan perkhidmatan tempatan
Manakala di peringkat ASEAN, Thailand dan Vietnam mencatatkan keberhasilan usahawan TVET yang tinggi sebaik sahaja tamat latihan vokasional dengan kadar 13% ke 17%.
Negara maju TVET dunia seperti Jerman dan Switzerland yang turut terkenal dengan Dual Training System mereka menumpukan pengalaman dan pendedahan bekerja terlebih dahulu sebelum mereka menyertai perniagaan mengikut bidang vokasional masing-masing.
Bagi Korea Selatan pula, menerusi penyelarasan Standard Kompetensi Nasional (NCS) dan sokongan geran permulaan (start-up) teknologi, negara itu berjaya memupuk ramai graduan sekolah tinggi vokasional (Meister High Schools) menjadi pengasas syarikat berasaskan pembuatan pintar dan teknologi digital.
Dalam konteks Malaysia, majoriti graduan di Malaysia masih memilih kerjaya makan gaji berbanding keusahawanan, namun kecenderungan ke arah bekerja sendiri menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan graduan TVET dan ekonomi gig.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) , sekitar 6.3% graduan berada dalam kategori bekerja sendiri atau keusahawanan. Dalam kajian pengesanan graduan segera selepas tamat pengajian pula, jumlah yang terus menjadi usahawan sepenuh masa lazimnya kekal rendah (sekitar 2% hingga 10%) kerana kebanyakan graduan memilih keselamatan pendapatan di sektor swasta.
Bagi graduan TVET, penglibatan keusahawanan adalah jauh lebih tinggi kerana kemahiran praktikal yang dimiliki memudahkan mereka membuka perniagaan berasaskan servis (seperti automotif, jahitan, kulinari, dan pendawaian). Dalam Laporan Kajian Pengesanan Graduan TVET, sekitar 18.3% graduan yang bekerja direkodkan sebagai usahawan dan 6.9% bekerja dalam perniagaan keluarga.
Atas prinsip dan kesedaran ini, saya telah membincangkan hasrat, model dan pengalaman tersebut ke peringkat Perdana Menteri sendiri supaya keputusan tertinggi dan terbaik dapat dilakukan segera kerana cabaran pekerjaan di kalangan graduan TVEt sebenarnya semakin mencabar.
Berdasarkan pengalaman luas saya, keusahawanan TVET perlu disusun dan dilaksanakan secara serius serta meluas oleh institusi utama pembangunan keusahawanan negara iaitu INSKEN. Dalam beberapa siri pertemuan baru-baru ini, minat dan komitmen pengerusinya Dato’ Mustaffa Kamil Ayub membolehkan saya yakin untuk mencapai misi tersebut.
Bukan mudah tetapi pengalaman membuktikan bahawa TVETprenuer bukanlah mustahil untuk dilaksanakan secara berkesan.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.





