POLIS meminta bantuan orang ramai terutama waris atau ahli keluarga individu yang hilang sejak 19 Ogos lalu untuk membantu mengenal pasti mayat lelaki yang ditemukan dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR) pada 27 Ogos lalu berhubung penemuan mayat lelaki tanpa identiti itu.
“Usaha kini dilakukan bagi mengesan waris atau ahli keluarga mangsa untuk membantu proses pengecaman serta siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang atau gagal dihubungi sejak 19 Ogos 2026, khususnya yang dipercayai mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar lapangan terbang KLIA diminta untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi IPD KLIA,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 03-87768926, Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Ridzuan Mohd Rosli di talian 011-14453057 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nicholas Anak Idel di talian 018-7017291.
Terdahulu, mayat lelaki berkenaan ditemukan pada pagi 27 Ogos lalu di dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat yang mendarat di KLIA2 selepas penerbangan dari Tokyo, Jepun.
Mayat itu ditemukan kakitangan kejuruteraan ketika melakukan pemeriksaan terhadap ruang simpanan tayar selepas terhidu bau busuk.
Ketika ditemukan, mayat berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal.
Pemeriksaan awal turut mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Mangsa ketika ditemukan memakai hoodie putih bergambar naga di bahagian belakang dan mempunyai tulisan ‘OAKLEY’ di bahagian hadapan, selain seluar jeans biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stoking dan kasut sukan hitam.
Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat, manakala siasatan dijalankan mengikut SDR.
Polis berharap maklumat daripada keluarga atau kenalan individu yang hilang dalam tempoh berkenaan dapat membantu mengenal pasti identiti mangsa sekali gus melengkapkan siasatan kes.





