SEORANG lelaki ditemukan mati di dalam sebuah bilik sewa di atas sebuah restoran di sepanjang Jalan OKK Abdullah di Labuan hari ini.
Polis mengesahkan mayat Tan Boon Tai, 57, berasal dari Kampung Sabanoil, Papar dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada lima hari dan tiada unsur jenayah ditemukan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.55 petang dan mendapati pintu bilik tersebut berkunci dari dalam, serta terdapat bau busuk yang kuat dari dalam bilik berkenaan.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk memecahkan pintu sebelum mayat lelaki itu ditemukan terbaring di atas tilam dalam keadaan sudah mereput.
“Pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah mendapati tiada sebarang elemen jenayah di tempat kejadian,” katanya malam ini, lapor Bernama.
Wan Mohd Firdaus berkata, barangan peribadi lelaki itu berada dalam keadaan baik, bilik tersebut dalam keadaan kemas dan tiga papan ubat yang dipercayai miliknya turut ditemukan.
“Tiada saksi melihatnya dan kejadian ini disedari selepas orang ramai mengesan bau busuk itu. Tiada rakaman CCTV di premis berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, pihaknya tiba di premis tingkat dua itu pada jam 5.04 petang, selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang.
Beliau berkata, 14 anggota bomba daripada balai Rancha-Rancha dan Labuan Sentral, terlibat dalam operasi tersebut yang tamat pada jam 6.10 petang.





