EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bangi hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penjual durian yang mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih pada bulan lalu.
Tertuduh iaitu Asrul Siwi, 32; Amirul Maamur Rosli, 27; Amri Rizani Darus, 36; dan Rijal Haryono, 47, mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka berikutan kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Asrul dan Amirul bersama tiga individu lain yang masih bebas didakwa membunuh Mulialisman Nordi, 34, di Batu 28 Sungai Lalang, Mukim Ulu Semenyih, Hulu Langat antara jam 4 pagi pada 24 September hingga 2 petang, 25 September lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali.
Dalam prosiding sama, Amri dan Rijal turut berdepan pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan mangsa.
Kedua-duanya didakwa bersama dua individu yang telah dituduh serta dua lagi yang masih bebas, atas dakwaan membantu Asrul dan Amirul melakukan jenayah itu, masing-masing dengan melarikan mangsa dan membantu mengasah cangkul.
Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, yang membawa hukuman sama seperti kesalahan membunuh jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, mangsa dipercayai menjadi mangsa penculikan apabila dilarikan sekumpulan individu dari sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya.
Mangsa yang bekerja sebagai penjual durian dipercayai dibawa menggunakan sebuah kenderaan jenis Honda sebelum mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih.





