KAPAL misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon merah dalam tempoh 28 jam iaitu sekitar 7 petang esok.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata setakat ini, semua kapal GSF disahkan telah memasuki zon kuning tahap dua pada 3 petang hari ini.
“Jarak terkini kapal-kapal berkenaan adalah 227 batu nautika dari pesisiran Gaza. Tiada laporan serangan atau aktiviti dron yang mencurigakan dilaporkan semalam.
“Kelajuan (kapal) dan cuaca sangat baik. Kelajuan kapal paling hadapan adalah 4.9 knot dan mereka berada dalam jangkaan yang baik,” katanya dalam sidang media harian di SNCC MAPIM, Sepang hari ini.
Berikutan itu kata beliau, SNCC akan mengaktifkan siaran langsung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kapal terpilih sebagai langkah keselamatan.
Sementara itu, Malaysia mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Akhbar Kanannya, Tengku Nashrul Tengku Abaidah menegaskan, ini kerana sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk Gaza yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.
“Sebagai penaung kepada inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara yang kini giat melaksanakan misi bantuan ke Gaza, Perdana Menteri sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis kemanusiaan dari negara kita yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel,” katanya.



