OPERASI mencari dan menyelamat selama lebih dua jam berjaya menemukan seorang pekerja warga Bangladesh yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Melayu Kepong di Kuala Lumpur petang tadi.
Mangsa ditemukan pada jam 5.14 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata, kerja mencari mangsa dilakukan dengan menggali serta mengalihkan timbunan tanah di lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi berkenaan turut menggunakan bantuan jentera pengorek selain mendapat kerjasama agensi lain.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang pekerja di kawasan berkenaan tertimbus di bawah runtuhan tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.45 petang sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
Pasukan penyelamat tiba di Jalan 2A/1, Kampung Melayu Kepong pada jam 2.55 petang dan mengesahkan kejadian tanah runtuh berkenaan.
Mangsa yang berusia 34 tahun itu berjaya ditemukan kira-kira dua jam 19 minit selepas pasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi.





