POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung satu kes gangguan fizikal melibatkan seorang pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah di Cheras selepas mangsa didakwa dicekik oleh rakan sekolah akibat perselisihan faham mengenai tempat duduk di kantin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada Selasa lalu dan melibatkan dua pelajar lelaki Tingkatan 1.
Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden berlaku di hadapan koperasi sekolah apabila tercetus perselisihan faham antara mangsa dan suspek berhubung tempat duduk di kantin sekolah.
“Suspek dipercayai bertindak mencekik leher mangsa dari arah belakang selain melakukan provokasi secara lisan ketika kejadian.
“Susulan kejadian itu, mangsa telah dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk menerima rawatan pada hari sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, susulan kejadian itu satu mesyuarat jawatankuasa tiga pihak membabitkan polis, pihak sekolah dan penjaga telah diadakan pada 20 April lalu bagi membincangkan tindakan susulan.
Katanya, hasil keputusan mesyuarat tersebut, pihak sekolah telah mengambil tindakan disiplin dengan mengenakan amaran serta menggantung persekolahan suspek.
Beliau berkata, polis turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan pentadbiran sekolah untuk tindakan lanjut.
“Kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah amat penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.






