Pembangunan Kampung Sungai Baru tetap kekalkan pemilikan hartanah Melayu – Dr.Zaliha

PEMBANGUNAN semula  Kampung Sungai Baru tetap mengekalkan pemilikan hartanah Melayu dan bumiputera seperti mana termaktub dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa serta garis panduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), termasuk Seksyen 267 yang menetapkan kadar minimum pemilikan Melayu.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kalau tanah rizab Melayu, seratus peratus pemilikan mesti kekal Melayu, tidak ada kompromi dalam soal tersebuy.

“Jika projek dilaksanakan melalui kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 70 peratus mesti dimiliki Melayu, manakala bagi projek swasta, sekurang-kurangnya 40 peratus pemilikan perlu kekal Melayu,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sidang media itu diadakan bagi memberi penjelasan berhubung Pembangunan di Kampung Sungai Baru yang tercetus kekecohan semalam berikutan bantahan penduduk tidak mahu berpindah.

Semalam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebarang usaha membangunkan kawasan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur perlu memelihara dan mengambil kira kepentingan orang Melayu.

Oleh itu kata beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, pemaju perlu memahami keunikan Kampung Sungai Baru dan perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu milik komuniti itu, dikurniakan oleh Sultan Selangor pada zaman British.

Beliau berkata, pemaju harus memastikan orang Melayu, penduduk asal tanah itu, mampu memiliki kediaman yang akan dibangunkan pada harga yang bersesuaian, dan berupaya membina kehidupan yang baik di situ.

Mengulas perkara itu, Dr.Zaliha berkata, pihaknya sedang berbincang dengan UDA Holdings Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan beberapa syarikat lain untuk mencari mekanisme supaya harga rumah ini mampu dimiliki Melayu.

Mengenai kekecohan yang tercetus, beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menunggang isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

“Saya tahu siapa sebenarnya yang berada di luar kawasan itu yang telah melakukan propaganda. Semalam (Khamis) saya dimaklumkan bahawa apa yang berlaku itu dilakukan oleh mereka yang bukan pun penduduk di situ,” katanya.

Dr.Zaliha berkata, kerajaan mahu memastikan proses pengosongan yang dilaksanakan mengikut perintah mahkamah dapat dijalankan dengan baik tanpa sebarang gangguan luar.

“Saya tidak akan beri peluang untuk menunggang isu ini. Kita bersusah-payah memastikan keamanan negara, jadi hal-hal seperti ini perlu ditolak,” tegasnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img