POLIS sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemandu bas dikasari dan diugut di Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya mengesan video kejadian itu selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 41 tahun pada jam 1.46 petang semalam.
Menurutnya, mangsa mendakwa dipukul dan diugut oleh tiga lelaki terbabit ketika berada di terminal berkenaan.
“Punca kejadian masih belum dapat dipastikan. Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182323.





