Penuntut universiti mengaku tidak bersalah pandu melulu sebabkan kematian empat sekeluarga

SEORANG remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga pada Jun lalu.

Tertuduh, Goh Yin Zun, 19, penuntut sebuah universiti di Singapura mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa memandu kereta jenis Mercedes-Benz dalam keadaan yang membahayakan pengguna jalan raya lain di Kilometer 27, Jalan Renggam ke Simpang Renggam, jam 1.19 petang pada 1 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azam manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

Terdahulu, Nik Noratini menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 namun pihak pembelaan merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh adalah pesalah muda.

Peguam Mohd Daud turut memberitahu mahkamah, tertuduh sedang mengikuti diploma pengajian perniagaan di Singapura.

Selain itu, Mohd Daud menjelaskan tertuduh memberi kerjasama baik sejak ditahan reman sehingga dibebaskan dengan jaminan polis pada Jun lalu.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan kes ini disebut semula pada 20 November ini untuk serahan dokumen.

Memetik laporan media, dalam kejadian itu, empat sekeluarga maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam di hadapan penjara Simpang Renggam.

Mereka yang maut ialah Aiman Mohd Rashid, 36, isterinya, Nor Azlina Abd Latip, 33, ibu mentua Aiman, Semek Mat Soh, 73, dan anak saudaranya, Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, suspek memandu Mercedes-Benz A250 secara laju dan melulu bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun.

Menurut beliau, kemalangan berlaku pada jam 1.15 petang apabila BMW 530e hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan lain.

Bagaimanapun, abang suspek maut dalam nahas ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta bagi mendapat rawatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here