Perhilitan Johor tangkap dua gajah liar ceroboh kawasan ladang

DUA ekor gajah liar yang menceroboh kawasan ladang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor di Ulu Sedili, Kota Tinggi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, tangkapan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada pengurusan Ladang Johor Plantation Group (JPG) sehari sebelum itu mengenai kehadiran dua ekor gajah di kawasan Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili.

Beliau berkata, hasil aduan tersebut, dua ekor gajah jantan dewasa berjaya ditangkap, iaitu seekor gajah dengan saiz tapak kaki hadapan 33.02 sentimeter (13 inci) ditangkap di Ladang Tenggaroh 12, Mersing pada jam 12.05 tengah hari, manakala seekor lagi dengan saiz tapak kaki hadapan 38.1 sentimeter (15 inci) ditangkap berhampiran Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili pada jam 4.30 petang.

“Kedua-dua gajah yang ditangkap itu dipercayai merupakan pecahan daripada kumpulan utama di Jemaluang yang sebelum ini dilaporkan sering memasuki kawasan Ladang Pasir Logok serta kawasan pembinaan Kompleks Penapisan Minyak Sawit Ulu Sedili yang dalam fasa pembinaan.

“Gajah-gajah ini ditangkap atas faktor keselamatan pekerja pembinaan, pekerja ladang serta penduduk kampung di sekitar kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tian Soon berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan gajah-gajah terbabit sehingga proses pemindahan ke habitat yang lebih sesuai selesai dilaksanakan.

Sebelum ini, menurut beliau, aduan turut diterima daripada pekerja pembinaan di kawasan kilang berhubung kehadiran gajah di tapak pembinaan sejak beberapa bulan lalu.

“Situasi ini telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan pekerja pembinaan tersebut serta sedikit sebanyak mengganggu kelancaran kerja-kerja di tapak pembinaan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img