DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa semua agensi dan institusi pembiayaan mikro untuk memperhebat gerak kerja turun padang dan mendekati seramai mungkin peniaga kecil, penjaja, usahawan mikro serta golongan yang terhimpit akibat kekangan modal.
Perdana Menteri berkata, hebahan dan penyampaian maklumat perlu dilaksanakan secara lebih agresif dan menyeluruh supaya tiada yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan.

“Proses permohonan juga mesti dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan kelulusan diberikan secara adil serta munasabah agar kemudahan ini benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MARA, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, Agrobank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi meneliti usaha memperluas akses pembiayaan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro.

Menurut beliau, kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun ini, yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro.
Katanya, ia melibatkan pembiayaan sehingga RM100,000 dengan kadar bagi skim tertentu serendah tiga peratus setahun.
Beliau memberitahu, kemudahan pembiayaan itu tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya masih ramai peniaga dan penjaja kecil khususnya di pasar, pasar malam dan kawasan tumpuan rakyat tidak menerima manfaat.
“Ketika berkunjung ke negeri-negeri, saya mendengar sendiri keluhan peniaga kecil yang tidak mengetahui mengenai bantuan dan kemudahan pembiayaan yang disediakan.
“Ada yang masih bergelut sendirian kerana tidak tahu saluran yang boleh membantu mereka mendapatkan modal dan sokongan,” tambahnya.
Beliau berharap semoga kemudahan itu dapat membantu lebih ramai peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kontraktor kecil, pesawah padi, golongan asnaf dan usahawan mikro untuk bangkit, berkembang dan membina kehidupan yang lebih baik.


