Pelajar perempuan terselamat daripada diculik selepas gigit tangan suspek

SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Dua berjaya menyelamatkan diri daripada cubaan culik selepas menggigit tangan suspek yang bertindak agresif ke atasnya, di pekan Simpang Kuala di Alor Setar semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.26 malam itu, mangsa yang merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di Alor Setar tiba-tiba dihampiri suspek lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, ketika itu mangsa sedang berjalan melalui lorong di pekan itu sebelum suspek memberhentikan motosikal di hadapannya dan terus memeluk serta menutup muka mangsa dengan menggunakan tangan.

“Remaja perempuan itu bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menggigit tangan suspek dan terus berlari ke pusat tuisyen berhampiran untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Basri berkata, mangsa membuat laporan polis hari ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.

“Kita juga meminta bantuan pihak forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk mendapatkan sampel di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian serta suspek diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img