Polis kesan pemilik bagasi merah jambu di ICQS Bukit Kayu Hitam

POLIS masih mengesan pemilik sebuah bagasi berwarna merah jambu yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menggesa mana-mana pihak yang mengetahui pemilik bagasi berkenaan supaya memaklumkan kepada polis.

“Polis hanya ingin mengetahui apa tujuan bagasi berkenaan ditinggalkan di situ.

“Setakat ini kertas siasatan sudah dibuka untuk menjalankan siasatan berhubung penemuan beg berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Program ‘Charity Ride’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbiker’s Club sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Sambutan Ambang Merdeka ke-69 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Alor Setar hari ini, lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan, bangunan ICQS Bukit Kayu Hitam di sini gempar dengan penemuan sebuah bagasi yang ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam Blok B, pada 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim sebelum ini berkata, bagasi berwarna merah jambu itu ditemui kira-kira jam 5.55 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati bagasi berkenaan mengandungi pakaian wanita, alat kosmetik, pengering rambut serta barangan keperluan harian.

Bagaimanapun, tiada unsur ugutan, nota ancaman atau panggilan bom dikesan, manakala tiada dokumen atau identiti ditemukan bagi membantu mengesan pemiliknya.

Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik serta tujuan bagasi berkenaan ditinggalkan di lokasi terbabit.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here