SEORANG isteri kepada anggota polis didenda RM6,000 dan boleh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengawal akaun bank milik anak kandungnya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), untuk digunakan dalam transaksi penipuan sewaan rumah tidak wujud.
Tertuduh, Noor Fazira Sinen, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, wanita itu tanpa maksud yang sah mempunyai dalam kawalannya instrumen pembayaran milik orang lain, iaitu akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik anak kandungnya, bagi tujuan menipu penama Anis Amera Zaini sehingga menyebabkan kerugian RM1,500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 30 April hingga 22 Mei lalu di Jalan Anggerik 2/12, Taman Anggerik Tenggara, Bandar Tenggara.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Husni Abu Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, pada 30 April lalu, pengadu terpedaya dalam urusan penipuan rumah sewa tidak wujud melalui aplikasi Facebook.
Pengadu kemudian membuat transaksi kewangan berjumlah RM1,500 ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional milik anak kandung tertuduh.
Pengadu berasa dirinya ditipu selepas tidak menerima kunci rumah sewa seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis di Bandar Tenggara.





