POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada mana-mana pihak akan dilindungi dalam siasatan berhubung insiden pijak kepala membabitkan tangkapan seorang lelaki di Kulim, Kedah yang tular baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan kini dijalankan secara serentak melibatkan aspek jenayah dan tatatertib terhadap anggota yang terlibat.
“Siasatan jenayah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama manakala satu lagi siasatan tatatertib dijalankan bagi menilai sebarang pelanggaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota terbabit.
“Sebenarnya SOP tangkapan sudah pun ada, bukan tak ada. Dalam konteks kes insiden di Kulim itu, tindakan kita dah ambil dan siasatan dibuat. Bagi ruang untuk kita siapkan siasatan dan kita akan maklumkan hasil serta tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang di St Giles Hotel, Georgetown, hari ini.
Menurutnya, SOP tangkapan sememangnya membenarkan penggunaan kekerasan minimum dan munasabah, khususnya apabila berdepan suspek yang melawan atau mengancam keselamatan.
“Namun terdapat situasi tertentu yang menjadi garisan kelabu (grey line) dalam menentukan tahap kekerasan yang sesuai, bergantung kepada reaksi suspek ketika kejadian,” katanya.
Sebelum ini, Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa hasil siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung insiden itu didedahkan kepada umum, bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis terus terpelihara, selain menjamin akauntabiliti terhadap sebarang salah laku.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau kesimpulan berdasarkan rakaman video pendek yang tular kerana ia tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar kejadian.
Insiden berkenaan mencetuskan perhatian selepas video memaparkan seorang lelaki dipijak di bahagian kepala ketika ditahan anggota polis tular di media sosial.


