POLIS menumpaskan satu kumpulan dipercayai aktif mencuri lembu selepas merampas 32 ekor ternakan bernilai RM96,000 serta menahan 10 individu dalam operasi di tiga daerah di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi dijalankan antara 17 Jun hingga kelmarin di Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Terengganu hasil risikan serta beberapa serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.
Menurutnya, operasi itu membabitkan empat pegawai dan 15 anggota polis.
“Hasil serbuan, polis merampas 32 ekor lembu, lapan telefon bimbit, satu beg plastik mengandungi sebotol kaca bertulisan Llium Xylazil-100 bersama satu picagari, sebuah Toyota Hilux serta sebuah Perodua Kancil.
“Kita turut menahan lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 71 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusoff berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai 55 rekod jenayah lampau dan 24 rekod berkaitan dadah.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan 20 kes curi lembu yang dilaporkan di Kelantan dengan anggaran kerugian keseluruhan sebanyak RM96,000,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek dibawa ke IPD berkaitan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.






