PRN Melaka: Pas masih berunding demi kukuhkan perpaduan Melayu

SELEPAS Johor dan Negeri Sembilan Pas terus berusaha membawa gelombang perpaduan Melayu ke Melaka melalui pilihan raya negeri (PRN) di negeri Hang Tuah itu tidak lama lagi.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, masih meneruskan rundingan bagi dengan matlamat memperkukuh perpaduan Melayu-Islam di samping menjalin kerjasama dengan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem pada PRN Melaka.

Sehubungan itu, beliau menganggap kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini sebagai kenyataan peribadi.

“Itu kenyataan peribadi. Kita masih berunding,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Rusila, Marang hari ini.

Abdul Hadi berkata,  formula kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka tidak boleh disamakan dengan negeri lain kerana mengambil kira perubahan landskap politik semasa.

Katanya, keputusan pilihan raya terdahulu menunjukkan Pas menguasai dua kerusi Parlimen di Melaka, manakala DAP, PKR dan Amanah masing-masing mempunyai satu kerusi.

“Kalau berdasarkan kedudukan Parlimen, BN sudah kosong. Pilihan raya kemudian membawa perubahan. Sebab itu semua faktor perlu diambil kira,” katanya.

Atas sebab itulah kata beliau, rundingan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka masih belum dibubarkan.

Tegasnya, segala perbincangan yang diadakan ketika ini bertujuan mencari formula terbaik dalam usaha menyatukan kekuatan politik orang Melayu.

“Kita akan berusaha ke arah perpaduan Melayu-Islam dan bukan Melayu yang tidak ekstrem. Sebab itu kita masih dalam perundingan. Dewan Melaka belum bubar lagi.

“Kita berunding dari semasa ke semasa dan kita usaha hendak menyatukan orang Melayu, hendak selamatkan orang Melayu,” katanya.

Ditanya sama ada rundingan dengan UMNO sudah bermula sebelum ini, beliau mengesahkan perbincangan telah diadakan dan diuruskan oleh wakil parti.

“Dah, dah berbincang. Berapa kali saya tak tahu, saya serahkan kepada wakil kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengkritik Kerajaan Madani yang bersikap tidak adil dalam menangani isu rasuah di mana hanya memberi tumpuan kepada kes rasuah melibatkan orang Melayu, tetapi tidak mengambil tindakan sama terhadap pihak menawarkan rasuah.

Beliau berkata, pemberi rasuah juga sewajarnya dikenakan tindakan undang-undang dan bukannya hanya menumpukan perhatian kepada penerima rasuah.

“Orang bukan Melayu yang memberi rasuah tidak diambil tindakan. Mereka bebas keluar masuk Jabatan Perdana Menteri, kementerian dan pelbagai institusi lain tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Sepatutnya pemberi rasuah juga dihukum, termasuk mereka yang bukan-Melayu. Kerajaan yang ada hari ini menghina orang Melayu. Nak rosakkan orang-orang Melayu, cari banyak-banyak muka orang Melayu yang rasuah…paling besar paling kecil habis senarai belaka,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img