MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke, menyifatkan tindakan kumpulan mat rempit menjadikan balai pelepasan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebagai litar lumba adalah sesuatu yang sangat memalukan.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf lapangan terbang berkenaan untuk memastikan konektiviti udara lebih baik ke Kelantan.
Menurutnya, LTSIP juga berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat negeri itu serta menarik lebih ramai pelancong.
“Kelakuan golongan mat rempit ini bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna lapangan terbang, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Anthony berkata, beliau telah mengarahkan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan terbabit.
“Sesiapa yang berani merempit di depan lapangan terbang akan disita terus motosikal mereka,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut meminta pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperketatkan kawalan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal bagi membendung kegiatan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan balai pelepasan di terminal baharu LTSIP yang baru beroperasi kurang sebulan dijadikan litar lumba oleh kumpulan mat rempit, dengan aktiviti itu dipercayai bermula sejak Ramadan lalu sebelum tular di media sosial selepas dirakam pengguna lapangan terbang.


