AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menggesa kerajaan membuat pendedahan secara keseluruhan laporan asal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Tabung Haji (TH).
Selain itu kata beliau kerajaan juga perlu membentangkan perincian status pelaksanaan untuk setiap satu syor RCI termasuk pelan tindakan terhadap setiap syor RCI yang masih belum dilaksanakan.
‘’Saya juga menggesa kerajaan menjelaskan status tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan salah laku atau pelanggaran undang-undang,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Kabinet hari ini yang bersetuju supaya laporan RCI TH itu didedahkan.
Ketika mengumumkan keputusan Kabinet itu, Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan itu juga akan dibentang dan dibahaskan pada satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Radzi berkata, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul perlu memberikan peluang kepada semua Ahli Parlimen membahaskan dapatan dan syor RCI dan bukannya hanya terhad kepada beberapa orang Ahli Parlimen sahaja;
‘’Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan menteri berkaitan memberi penjelasan kepada semua isu yang dibangkitkan dan membuka ruang soal jawab seluas-luasnya manakala kerajaan memberi komitmen untuk melaksanakan cadangan bersesuaian yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen bagi menambah baik kedudukan Tabung Haji,’’ katanya.
Beliau berkata, Tabung Haji dibangunkan bertunjangkan aspirasi umat Islam yang ingin menyimpan wang secara patuh syariah bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah haji, iaitu rukun Islam kelima, dengan teratur dan tertib.
‘’Lebih daripada sembilan juta pendeposit telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Tabung Haji. Bagi sebahagian besar pendeposit, wang yang diamanahkan bukan sekadar simpanan biasa, tetapi hasil titik peluh yang dikumpulkan bertahun-tahun lamanya dengan niat untuk menyempurnakan tuntutan agama,’’ katanya.
Sehubungan itu Radzi menegaskan, perkara berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan atau keputusan pelaburan Tabung Haji bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi dan pentadbiran, malah menyentuh soal amanah, integriti serta keyakinan umat Islam terhadap institusi tersebut.






