Ras Adiba kenang sokongan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah

BEKAS personaliti televisyen, Datuk Ras Adiba Radzi mengenang sokongan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang sentiasa memberikan semangat kepadanya ketika melalui fasa menjadi orang kurang upaya (OKU).

Menurut Ras Adiba, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah sering mengingatkannya supaya terus kuat dan percaya bahawa setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah.

“Setiap kali saya berjumpa dengan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah, beliau selalu beri sokongan. Beliau selalu kata, saya kena teruskan walaupun sebelum ini saya bukan OKU.

“Beliau kata, percaya dengan rancangan Allah. Setiap benda yang berlaku itu sebenarnya ada hikmah. Kita tak tahu, mungkin hari ini kita tak tahu dan kita tak nampak rancangan Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya, hari ini.

Ras Adiba berkata, Allahyarham turut mengingatkannya supaya tidak berhenti berusaha serta terus memberi sumbangan kepada golongan OKU.

“Beliau kata, saya masih berjaya dengan kemampuan saya sendiri. Beliau kata … macam Raz, Raz boleh teruskan dengan usaha untuk menjaga semua OKU dan warga emas di Malaysia.

“Itulah yang saya tak boleh nak lupa,” katanya.

Ras Adiba turut mengenang pertemuannya dengan Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang yang sangat penyayang dan mempunyai budi pekerti tinggi.

“Beliau pegang wajah saya dan kata, ‘cantik lagi.. comel sangat.’ Kemudian beliau kata, ‘manis lagi,'” katanya.

Ras Adiba berkata, beliau bersyukur kerana pernah dipertemukan dengan insan yang banyak memberikan sokongan kepadanya.

“Saya bersyukur kerana kita dipinjamkan dengan seorang bonda yang begitu baik hati, berwawasan, budi pekertinya terlalu tinggi dan seorang manusia yang luar biasa,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here