REMAJA perempuan berusia 18 tahun mendakwa dirogol selepas dipaksa menghisap rokok elektronik (vape) oleh seorang lelaki sehingga tidak sedarkan diri.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah residensi di Petaling, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 5 pagi.
“Mangsa mendakwa dipaksa suspek menghisap vape sebelum tidak sedarkan diri. Dia hanya tersedar kira-kira 7 pagi dan mendapati tidak berpakaian. Mangsa turut mengalami kesakitan pada bahagian kemaluan dan mengesyaki dirogol suspek,” katanya lapor Harian Metro .
Susulan itu, Hoo berkata, pihaknya sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.





