SEORANG Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan yang digantung tugas, Djuyamto berharap, beliau menjadi hakim terakhir yang menerima rasuah.
Beliau membuat kenyataan itu ketika dibicarakan di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat atas tuduhan menerima rasuah bagi menggugurkan sabitan ke atas syarikat korporat termasuk Wilmar, Permata Hijau dan Musim Mas Group bersalah mengesport sawit tanpa permit (CPO)
Dalam penghakiman pada 19 Mac lalu, Mahkamah Rasuah menyatakan, syarikat terbabit bersalah mengeksport sawit tanpa permit tetapi memutuskan perbuatan itu bukan jenayah.
Ketika perbicaraan hari ini, Djuyamto bertanya Rudi Suparmo yang menjadi saksi dalam kes itu berhubung satu pertemuan bekas Ketua Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu dengan individu bernama, Agustrin Maryono yang menawarkan beliau (Rudi) AS$1 juta untuk membantu menguruskan kes tersebut.
‘’Awal tadi kamu sebut bertemu dengan Agustin, ia sebelum atau selepas perbicaraan ini bermula?,’’ tanya Djuyamto.
Selepas Rudi menjawab pertemuan itu diadakan sebelum perbicaraan itu bermula, Djuyamto terus mengaku menerima rasuah serta menerangkan bagaimana ia berlaku dan berharap perbuatan itu tidak dilakukan oleh hakim lain pada masa depan.
‘’Maksud saya begini Yang Arif, soal mengambil rasuah, kami sudah mengaku ketika sesi soal siasat lagi dan mengaku bersalah tetapi isunya bukan soal mengaku salah tetapi ia memberi pengajaran kepada saya dan saya berharap menjadi hakim terakhir di Republik Indonesia yang menerima rasuah,’’ katanya sambil disambut ‘Amin’ oleh Ketua Hakim Mahkamah Jakarta Pusat, Efendi yang mengendalikan perbicaraan tersebut.
Djuyamto merupakan antara tiga hakim ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada peguam syarikat, Ariyanto, bagi menggugurkan sabitan ke atas syarikat korporat terbabit termasuk Wilmar, Permata Hijau dan Musim Mas Group.
Dua lagi hakim ialah iaitu Agam Syarif Baharuddin dan Ali Muhtarom. Kes itu melibatkan rasuah mencecah 40 trilion rupiah (RM10 bilion)
Pendakwa raya menuntut ganti rugi 11.8 trilion rupiah (kira-kira RM3.58 bilion) daripada Wilmar, 4.8 trilion rupiah (kira-kira RM1.45 bilion) dari Musim Mas dan 937 bilion rupiah (kira-kira RM284 juta) daripada Permata Hijau.
Ia menjadikan kerugian keseluruhan yang ditanggung Indonesia akibat skandal itu , dianggarkan mencecah 18.3 trilion rupiah (kira-kira RM5.55 bilion), termasuk subsidi minyak masak yang terpaksa ditanggung kerajaan semasa krisis 2022.


