SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengerusi serta bendahari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang pengarah syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan program sumbangan makanan asas berjumlah kira-kira RM5 juta.
Perintah reman selama empat hari sehingga 28 Februari 2026 terhadap ketiga-tiga suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira antara jam 3 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek di mana bendahari NGO tersebut juga merupakan pengarah syarikat terbabit disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 hingga 2023.
“Kesemua suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan program sumbangan makanan asas dengan niat untuk mengelirukan pihak NGO tempat pengerusi dan bendahari tersebut berkhidmat sehingga menyebabkan pertubuhan itu membuat pembayaran berjumlah kira-kira RM5 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


