POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan sebuah akhbar tempatan serta penularan di media sosial, kononnya seorang pelajar universiti rakyat Malaysia ditahan kerana menyeludup dadah jenis syabu seberat lebih empat kilogram (kg) di Tanjung Balai, Indonesia pada 10 Okt.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil siasatan mendapati, suspek yang ditahan oleh pihak berkuasa republik itu, lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun.
Beliau berkata suspek berasal dari Medan itu, penuntut di sebuah institusi pengajian di negara berkenaan.
Hussein mendedahkan bekalan dadah tersebut diperoleh daripada sindiket di negara ini, sebelum ia cuba diseludup keluar.
“Siasatan lanjut mendapati dadah ini telah diserahkan oleh seorang lagi lelaki warganegara Indonesia di kawasan Lembah Klang untuk dibawa ke Indonesia melalui Terminal Feri Tanjung Balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek dilaporkan ditahan oleh pihak Kepolisian Resor (POLRES) Tanjung Balai pada 5 petang waktu tempatan, 10 Okt selepas tiba di Terminal Feri Teluk Nibung menaiki feri dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
Hussein berkata pemeriksaan menggunakan alat pengimbas sinar-X ke atas beg pakaian lelaki tersebut menemukan lapan bungkusan plastik disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 4,044 gram.
Justeru, beliau menegaskan bahawa naratif laporan bertajuk “Lagi kes rakyat Malaysia ditahan, pelajar universiti ‘kantoi’ seludup 4kg syabu”, sama sekali tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“JSJN menyeru pihak yang berkaitan agar tidak menyebarkan sebarang berita tanpa fakta yang benar dan perlu mendapat pengesahan terlebih dahulu dari pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata JSJN memandang serius kegiatan rentas sempadan ini dan akan terus bekerjasama dengan Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI).
Hussein berkata kerjasama itu, bertujuan mendapatkan maklumat risikan bagi mengenal pasti punca bekalan dan membanteras rangkaian sindiket dadah di Malaysia, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diseru menyalurkannya melalui talian JSJN menerusi nombor 012-2087222.





