Tabung bantuan kemanusiaan Palestin kumpul RM3.8 juta

TABUNG Bantuan Kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM3.8 juta setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, dana berkenaan akan diagihkan berdasarkan program dan projek kemanusiaan yang dikenal pasti mengikut keperluan rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, sebenarnya RM3.8 juta itu memang sudah ada (dalam tabung) dan kita akan mengagihkannya berdasarkan program serta projek yang telah dikenal pasti.

“Insya-Allah, kita juga berhasrat menambah dan meningkatkan jumlah tabung ini supaya dapat menyalurkan lebih banyak sumbangan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin 2026 di Dataran Putrajaya malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Global Peace Mission (GPM) Malaysia merangkap Ahli Dewan Negara, Dr Jufitri Joha serta Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mengulas pengurusan dana berkenaan, Zulkifli berkata, setiap sumbangan dan perbelanjaan akan didokumentasikan dengan teliti bagi memastikan pengurusan tabung dilaksanakan secara teratur dan telus.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat bagaimana profesionalisme dalam pengurusan ini dikekalkan dan dipertahankan.

“Dalam masa sama, kita mahu membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Ops Ihsan adalah sebuah pertubuhan yang amanah dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diberikan oleh penderma dan penginfak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menghentikan genosid, hukuman kolektif, apartheid, penjajahan haram serta segala bentuk jenayah terhadap kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin.

Menurutnya, masyarakat dunia perlu bersatu memperjuangkan keadilan, keamanan dan hak rakyat Palestin untuk menikmati kebebasan serta kehidupan bermaruah.

“Kita berdiri bersama rakyat Palestin. Kita berdiri demi keadilan, maruah kemanusiaan dan kebebasan.

“Insya-Allah, perjuangan dan usaha kita untuk terus membela rakyat Palestin tidak akan terhenti.

“Kita menyeru masyarakat antarabangsa supaya menghentikan genosid, hukuman kolektif, apartheid, penjajahan haram serta jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here