UMNO menghormati keputusan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) yang kekal menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO berpendirian untuk terus memastikan kestabilan kerajaan negeri terpelihara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan perlu diadakan bagi merungkai isu yang berbangkit.
“Kita mencadangkan agar rundingan segera diadakan selaras dengan prinsip-prinsip perjanjian antara parti dalam Kerajaan Perpaduan. Segala isu dasar yang diperselisihkan wajar diselesaikan melalui Majlis Perundingan,” katanya dalam kenyataan seleps Mesyuarat Biro Politik malam tadi di Kuala Lumpur.
Kemelut politik Negeri Sembilan tercetus apabila 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Asyraf Wajdi berkata, pendekatan rundingan adalah penting bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara serta mengelakkan sebarang krisis berpanjangan yang boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
‘’Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia yang berlangsung malam tadi menegaskan pendirian parti untuk terus berpegang teguh kepada Perlembagaan UMNO serta mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak utama kedaulatan negara, ‘’ katany.
Beliau berkata UMNO memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan yang telah mencetuskan polemik besar serta menimbulkan salah faham dalam kalangan anggota komponen Kerajaan Perpaduan negeri tersebut.
“UMNO sentiasa berpegang kepada asas Perlembagaan parti khususnya Fasal 3.1 yang menekankan kepentingan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kedaulatan negara,” katanya.
Menurut beliau, UMNO turut mengambil maklum penjelasan yang diberikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar negeri itu.
“Langkah tersebut diambil kerana wujud kebimbangan bahawa kepimpinan sedia ada telah membelakangkan Institusi Adat serta Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” jelas beliau.


