Tragedi Karak: Bapa terkilan hasrat anak ceburi bidang automotif tidak kesampaian

SALAH seorang mangsa dalam nahas meragut enam nyawa di Jalan Karak Lama, Bentong awal pagi ini, S K Kiisven, 17,  tidak sempat untuk menamatkan pengajian dalam bidang automotif.

Bapanya, C Sasi Kumar, 47, yang bekerja sebagai penyelia ladang berkata, anak keduanya sedang mengikuti pengajian di sebuah akademi kemahiran di Karak, Bentong dalam bidang automotif.

“Dia memang minat dengan kereta dan motosikal, menyebabkan dia memilih untuk belajar dalam bidang automotif di Karak dan akan pulang ke kampung pada setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh hari ini, lapor BH.

Menurut Sasi Kumar, kali terakhir dia bertemu anaknya itu kira-kira jam 1 pagi di sebuah kuil berdekatan rumah di Sungai Kawang, Lanchang di Temerloh ketika membuat persiapan untuk upacara keagamaan hari ini.

“Saya pulang ke rumah kerana mengantuk sebelum menerima panggilan telefon pada jam 4.30 pagi memaklumkan Kiisven kemalangan dan terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Kiisven antara enam mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Camry dan lori muatan satu tan kira-kira jam 4 pagi tadi.

Selain remaja itu, mereka yang maut ialah pemandu kereta V Mugilan, 25, K. Dineshvaran, 22, K Alaganathan, 21, A Kanabati Raja, 19, dan M Paranthaman, 16, manakala pemandu lori berusia 31 tahun cedera parah.

Terdahulu, polis memaklumkan siasatan awal mendapati kereta Toyota Camry dinaiki enam sahabat itu dari arah Kuantan menuju ke arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan di lokasi kejadian yang menuruni bukit lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img