Wanita didakwa lakukan kekerasan jenayah ke atas Sultan Nazrin

SEORANG  wanita didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, baru-baru ini.

Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin Shah, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon agar pertuduhan dibacakan tanpa pengakuan diambil memandangkan tertuduh didapati menghidap penyakit skizofrenia ketika proses penahanan dan pemeriksaan awal dibuat.

Beliau turut memohon tertuduh menjalani pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, susulan pemeriksaan dan pemantauan awal mengikut Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi mengesahkan sama ada tertuduh waras semasa kejadian dan boleh membuat pengakuan untuk dibicarakan.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian memerintahkan tertuduh menjalani rawatan lanjut selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK).

Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Pada 31 Ogos lalu, media melaporkan seorang wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam menyerbu ke arah Sultan Nazrin yang sedang memberi tabik hormat .



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img