POLIS menahan 13 individu termasuk seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam kemalangan di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dinaiki lima individu termasuk mangsa kira-kira jam 12.38 tengah malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya yang baru keluar makan malam dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari Jalan Kenanga, Indahpura menuju ke rumah masing-masing sebelum kenderaan mangsa diekori beberapa kenderaan termasuk Toyota Vellfire hitam.
“Apabila tiba di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai dilanggar Toyota Vellfire berkenaan menyebabkan mangsa yang berada di kerusi hadapan penumpang tercampak keluar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini, lapor BH.
Ab Rahaman berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa dilanggar Toyota Vellfire sebelum kenderaan berkenaan melarikan diri.
Katanya, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
“Polis asalnya menyiasat kes sebagai kemalangan sebelum mengklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan penahanan kesemua suspek.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan kejadian mempunyai kaitan dengan konflik keahlian antara dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Johor Bahru. Namun motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya melakukan beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini dan Selangor sebelum menahan kesemua suspek berusia antara 15 hingga 31 tahun, termasuk remaja perempuan yang tidak bersekolah.
Katanya, polis turut merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah Kia Forte, Toyota Vellfire, Toyota Hilux, sebatang besi besbol hitam dan sebatang cota hitam.
“Siasatan mendapati sembilan suspek mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian air kencing kesemua suspek negatif dadah.
“Kesemua suspek ditahan reman antara kelmarin hingga 3 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya.





