43 penjawat akan terima pengiktirafan, ganjaran RM46,000 buat aduan perbuatan rasuah

SERAMAI  43 penjawat awam daripada lima jabatan dan agensi kerajaan dari seluruh negara akan diberikan pengiktirafan serta ganjaran kerana membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemberian atau penerimaan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua penjawat awam ini juga telah menjalani Tapisan Keutuhan melalui Sistem Tapisan Keutuhan SPRM dan layak menerima ganjaran yang diluluskan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM46,000.

Beliau berkata, berdasarkan statistik semasa dari tahun 2012 hingga 2024, seramai 550 calon penerima telah diberi pengiktirafan melibatkan jumlah ganjaran sebanyak RM1.14 juta.

Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya

Dalam tempoh tersebut, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendahului penerima ganjaran seramai 386 orang diikuti, Jabatan Imigresen Malaysia (48 orang), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (25 orang) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (15 orang) manakala selebihnya lain-lain agensi kerajaan.

‘’ Dalam Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 14 Bil. 1 Tahun 2025, hari ini kita mengiktiraf penjawat awam yang sudah menunjukkan integriti tinggi dengan melaporkan aktiviti rasuah yang berlaku kepada SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam tetapi menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam lain,” katanya pada mesyuarat tersebut di Ibupejabat SPRM, Putrajaya.

Ahmad Khusairi berkata, mesyuarat itu  diadakan berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 yang telah bersetuju agar suatu pengiktirafan diberikan kepada mana-mana penjawat awat yang melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.

Lanjutan daripada itu, katanya, Ketua Setiausaha Negara telah mengeluarkan Surat Pekeliling bertarikh 11 Mei 2011 berkaitan Garis Panduan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’ berkuatkuasa mulai 1 Jun 2011.

Antara kriteria yang melayakkan penjawat awam tersebut hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai SPRM yang menyiasat kesalahan yang telah dilaporkan sehingga perbicaraan kes tersebut selesai termasuk hadir ke mahkamah untuk memberikan apa-apa keterangan dalam perbicaraan kes itu, jika perlu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan 1, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Dato’ Razali Che Ani; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus; Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Datuk Sukairi Samsudin; Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam, Juwairiyah Jaafar dan Ketua Seksyen Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan (RPM), Kementerian Kewangan, Noor Rashida Abdul Rashid.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img