Warga Thailand dilepas, dibebaskan dakwaan edar lebih 3kg dadah

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pembantu kedai makan daripada pertuduhan mengedar 3,137.4 gram methamphetamine, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Shamsul Bahrin Abdul Manaf membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang juga warga Thailand, Chachahwan Ahmad, 40.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengedar dadah di sebuah rumah di Kampung Gaung Beta Hilir, Kota Bharu pada jam 5.20 pagi, 7 Mei 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Shamsul Bahrin dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan melalui saksinya iaitu pegawai penyiasat gagal untuk menyiasat kewujudan individu bernama Sabri menyewa di premis itu.

Katanya, dalam premis itu wujud kesan cap jari dan putung rokok yang tidak bersepadanan dengan tertuduh serta gagal menyiasat pemilik kereta dan motosikal yang diparkir di hadapan premis.

“Justeru, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie serta tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili Shaharuddin Mohamed dan Nik Arisya Syamimi Nik Rozhan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img