MALAYSIA menegaskan keperluan rundingan bersama dalam kalangan negara serantau susulan cadangan Indonesia untuk mengenakan cukai ke atas kapal dagang yang melalui Selat Melaka.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang keputusan berkaitan kepentingan strategik di kawasan berkenaan perlu dipertimbangkan secara kolektif, khususnya dalam kerangka kerjasama ASEAN.
Beliau menegaskan Malaysia berpegang teguh kepada prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, yang menjamin kebebasan pelayaran dan laluan perdagangan global tanpa sekatan.
“Sebagai negara ASEAN, anggota ASEAN, Selat Melaka dalam ASEAN, dan ia dikongsi bersama oleh beberapa buah negara, sebaiknya sebarang keputusan, walaupun ia merupakan kepentingan strategik negara masing-masing, elok kita gunakan bersama untuk kita pastikan bahawa ia tidak mengganggu hubungan dua hala ataupun pelbagai hala,” katanya lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, sebarang usaha mengenakan bayaran ke atas laluan bebas itu berpotensi mencetuskan bantahan meluas daripada komuniti antarabangsa, memandangkan laluan berkenaan merupakan laluan strategik yang penting kepada perdagangan dunia.
“Untuk mengenakan sebarang bayaran untuk laluan bebas pedagangan di Selat Melaka itu ia memerlukan satu keputusan yang amat besar dan juga ia mengganggu-gugat kepentingan dunia,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini Malaysia belum dipanggil untuk sebarang rundingan berhubung cadangan mengenakan tol ke atas kapal dagang yang melalui Selat Melaka.
Terdahulu, media melaporkan Indonesia sedang mempertimbang cadangan mengenakan cukai di laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu sebagai sumber baharu hasil negara, selain memperkukuh peranan Indonesia dalam perdagangan global.
Namun, hari ini media melaporkan, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa yang mengesyorkan caj dikenakan ke atas kapal melalui Selat Melaka dan Selat Singapura, menarik balik cadangan dan menegaskan Jakarta tidak akan eksploitasi laluan perairan strategik itu.
Beliau mengakui bahawa meskipun Indonesia terletak di laluan penting perdagangan dan tenaga global itu, usaha untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan bukanlah sesuatu yang mudah atau sesuai.


