ALASAN seorang lelaki yang datang ke rumah teman wanitanya kononnya untuk membantu mewarnakan rambut tidak berhasil apabila mereka dicekup berkhalwat dalam serbuan tengah malam di Sungai Seluang, dekat Kulim.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di sebuah rumah kampung di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mengetuk pintu dan memberi salam sebelum dibuka oleh seorang wanita yang dipercayai ibu kepada remaja perempuan berusia 17 tahun terbabit.
“Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik mendapati terdapat seorang remaja perempuan bersama lelaki berusia 20 tahun dan siasatan lanjut mendapati mereka bukan pasangan suami isteri serta tiada hubungan mahram.
“Remaja perempuan itu sudah tidak bersekolah dan tinggal bersama ibunya selepas berhenti kerja di sebuah kedai dalam pasar raya di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ketika serbuan, ibu remaja berkenaan berada di ruang tamu bersama seorang rakan wanita dan mendakwa mengetahui kehadiran lelaki itu di dalam rumah.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit berasal dari Pulau Pinang dan bekerja sambilan di sebuah kedai motosikal.
“Kedua-dua mereka berkenalan sejak lapan bulan lalu melalui aplikasi TikTok dan berhubung menerusi Telegram.
“Remaja perempuan itu memaklumkan dia meminta lelaki berkenaan datang ke rumah untuk membantu mewarnakan rambut di dalam bilik, selain mendakwa ibunya mengetahui perkara itu dan tidak melarang mereka,” katanya.
Tambahnya, pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat sebelum dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan dan seterusnya ke pejabat agama bagi diambil keterangan lanjut.
Anwar Sharifuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.


