SEORANG remaja lelaki maut selepas terperosok ke bawah bas apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Jalan Genting Highlands, arah turun hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa, Mikail Brian Iskandar, 17, berjaya dikeluarkan dari bawah bas namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, dalam kejadian itu pemandu dan penumpang bas dilaporkan selamat.
“Pihak bomba menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 11.57 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands segera ke lokasi untuk bantuan.
“Komander operasi melaporkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas dengan motosikal jenis Honda Wave.
“Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal terperosok di bawah bas terbabit,” katanya.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan menggunakan peralatan menyelamat bagaimanapun remaja terbabit disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.


