TENTERA Darat Malaysia (TDM) berjaya mengagalkan cubaan seorang lelaki warga Indonesia menyeludup dadah bernilai RM127,350 menyeberangi sempadan di kawasan sempadan Sarawak-Indonesia di Serikin, kelmarin.
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejayaan operasi itu hasil tindakan pantas anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) di bawah Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) yang menjalankan rondaan di sempadan.
Menurut kenyataan itu, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, suspek ditahan ketika cuba melintasi sempadan melalui laluan tidak sah dari Malaysia menuju kawasan Indonesia dengan membawa beberapa bungkusan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan dipercayai dalam perjalanan membawa dadah dari Malaysia untuk diseludup ke negara jiran. Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemukan pelbagai jenis dadah.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM127,350,” menurut kenyataan itu menambah antara dadah dirampas adalah 795 gram syabu bernilai RM119,250, 250 biji pil Erimin 5 bernilai RM7,500 serta tiga botol cecair vape dipercayai mengandungi bahan terlarang.
Suspek kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan berkenaan antara pencapaian penting pasukan operasi 3 Briged dalam membanteras jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan dadah.
TDM menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Sarawak dan Sabah bagi memastikan kawasan berkenaan bebas ancaman jenayah.


