Dua lelaki termasuk bekas tentera dihukum mati bunuh pesara

DUA lelaki termasuk seorang bekas tentera dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Taiping selepas didapati bersalah membunuh seorang pesara, lima tahun lepas.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas tentera, Mohd Hafidz Ibrahim, 39, dan Muhammad Ahmad Md Yusoff, 35, kerana membunuh Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di kawasan hutan di Jalan Kubu Gajah-Lenggong di Selama, Perak antara 5 petang dan 10.50 malam 10 Oktober 2021.

Dalam penghakiman bertarikh semalam, Noor Ruwena berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap dua lelaki itu.

Noor Ruwena berkata, mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan, beliau menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

“Berdasarkan keseluruhan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati keterangan tersebut apabila diambil secara kolektif menunjukkan kedua-dua tertuduh sebagai pelaku jenayah itu,” katanya lapor Bernama.

Noor Ruwena berkata, Mohd Hafidz mempunyai motif untuk membunuh mangsa kerana dia beranggapan lelaki itu mempunyai hubungan sulit dengan bekas isterinya selain dia sukar untuk menerima kenyataan mereka telah bercerai.

Beliau berkata, pembunuhan itu dirancang yang dibuktikan oleh cara si mati diserang dan tahap kecederaan dialami, menunjukkan niat jelas untuk menyebabkan kematian serta-merta dan kecederaan pada belakang badan si mati bertujuan memastikan dia telah meninggal dunia.

Siasatan juga menunjukkan pada September 2021 selepas bercerai, Mohd Hafidz telah bersemuka dengan bekas isterinya mengenai hubungannya dengan mangsa yang merupakan bekas pegawai tentera, namun dinafikan dengan sekeras-kerasnya oleh wanita itu.

Noor Ruwena juga mendapati Muhammad Ahmad, seorang ahli perniagaan turut terlibat dalam jenayah itu kerana hadir ketika si mati dibawa pergi dari rumahnya sehingga dia kali terakhir dilihat bersama-sama si mati semasa Mohd Hafidz meninggalkan rumah dengan seorang rakannya.

Beliau berkata, Muhammad Ahmad telah membawa polis ke lokasi penemuan mayat si mati dua hari selepas dilaporkan hilang.

Mengikut fakta kes, tangan si mati digari ke belakang dan kelihatan beberapa kesan tikaman pada mayatnya yang telah mereput.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img