Akmal bidas sindiran Pas label budak catur, sebaliknya akui Aku Budak UMNO (ABU)

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau bukan ‘budak catur’ kepada mana-mana pemimpin, sebaliknya menganggap dirinya dan seluruh ahli parti sebagai ‘Aku Budak UMNO’ (ABU).

Dr Muhamad Akmal berkata, istilah ABU yang dahulunya sinonim dengan slogan provokasi pihak lawan, kini dijenamakan semula sebagai lambang kesetiaan dan jati diri ahli terhadap kelangsungan parti keramat itu.

Beliau membidas dakwaan pemimpin Pas baru-baru ini yang melabelnya sebagai ejen kepada pemimpin tertentu dalam parti.

“Saya nak beritahu dekat pentas keramat ini, saya bukan budak catur sesiapa. Saya bukan budak Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Mat Hasan (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) mahupun Khairy Jamaluddin (bekas Ketua Pemuda UMNO).

“Kita semua adalah ABU (Aku Budak UMNO). Dulu orang cakap ABU ini ‘Asal Bukan UMNO’, hari ini kita terbalikkan. Inilah sebabnya parti kita stabil kerana kita tidak mempunyai pasukan-pasukan (team) tertentu, sebaliknya semuanya setia kepada parti,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai proses peremajaan parti, Dr Muhamad Akmal memuji keberanian kepimpinan tertinggi UMNO yang benar-benar ‘mengotakan kata’ (walk the talk) dalam memberikan ruang seluas-luasnya kepada golongan muda.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, pembaharuan sistem pendaftaran ahli secara dalam talian menjadi bukti nyata apabila lebih 50 peratus daripada kira-kira 14,300 ahli baharu yang mendaftar terdiri daripada golongan Pemuda.

“Setakat pagi tadi, seramai 8,354 orang Pemuda sudah mendaftar secara organik tanpa paksaan atau bayaran. Ini menunjukkan anak muda mula melihat UMNO sudah berubah dan mereka mahu menjadi sebahagian daripada perubahan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak sesekali menguji ‘garis merah’ perjuangan UMNO meskipun kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Sambil memuji ketegasan UMNO Negeri Sembilan dalam isu menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar baru-baru ini, beliau menegaskan UMNO bukanlah sebuah parti yang boleh ‘dicucuk hidung’ atau gilakan jawatan.

“Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi jangan uji garis merah perjuangan kami. UMNO bukan parti oportunis. Jika dikhianati, pada bila-bila masa sahaja kita boleh menarik diri demi prinsip.

“Kita sanggup hilang jawatan atau kerusi Exco demi mempertahankan prinsip. Kita juga tidak pernah mengangkat bendera pihak lain semata-mata untuk menjaga hati kawan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img