Tuntut baki hutang baiki paip, punca remaja perempuan dikelar

SEORANG remaja perempuan warga asing berusia 16 tahun cedera parah selepas dipercayai dikelar seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Tuntuluk, Penampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu sebelum siasatan lanjut dijalankan di lokasi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya ketika membantu menjaga kanak-kanak itu semasa kakak iparnya keluar bekerja.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa kakak iparnya bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah.

“Ketika kejadian, mangsa sedang memegang sebilah pisau kerana menyiapkan masakan di dapur sebelum suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia berasa marah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian dipercayai bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher remaja terbabit dan menolaknya ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di kepala serta leher.

“Selepas kejadian, suspek melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk menerima rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami luka kelar di bahagian leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala,” katanya.

Sammy berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang berjaya menahan seorang lelaki di kawasan semak tepi Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar kira-kira jam 5.50 petang hari sama.

“Hasil semakan mendapati suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img