BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan pemindahan minyak sawit mentah secara haram selepas menahan dua lelaki yang sedang menjalankan aktiviti itu dalam serbuan Ops Taring Palma di sekitar Taman Jalan Kem di Klang semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh berkata, operasi bersepadu pada jam 4 petang itu disertai anggota dan pegawai Cawangan Risik PGA Semenyih bersama pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Pelabuhan Klang serta unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Menurut beliau, kedua-dua suspek warga tempatan yang ditahan berusia 22 dan 36 tahun manakala hasil pemeriksaan di lokasi menemukan serta merampas kira-kira 30 tan minyak sawit mentah.
“Turut disita sebuah lori treler tangki bersaiz 40 kaki, sebuah lori jenis rigid muatan tiga tan serta beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amanjit berkata, keseluruhan nilai rampasan bernilai RM505,000 dan kedua-dua suspek ditelah diserahkan kepada pihak MPOB Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) dan Akta Pengangkutan Jalan.


