Terpukau untung kerja sambilan dalam talian, mangsa rugi RM396,850

HASRAT seorang lelaki untuk menjana pendapatan tambahan menerusi kerja sambilan dalam talian berakhir dengan kerugian RM396,850 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan komisen lumayan bagi setiap tugasan diselesaikan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa pada mulanya dihubungi seorang individu dikenali sebagai ‘Lim’ yang menawarkan peluang pekerjaan secara dalam talian dengan menguruskan pesanan pembelian pelanggan.

Menurutnya, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan.

“Bagi menyertai skim berkenaan, mangsa dikehendaki membuat pembayaran pendahuluan bagi setiap pesanan yang diterima,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa transaksi ke akaun bank berbeza kononnya bagi membolehkan pihak kilang memproses dan menghantar barangan kepada pelanggan.

Katanya, walaupun sistem yang digunakan memaparkan keuntungan yang semakin meningkat, mangsa tidak pernah berjaya mengeluarkan wang berkenaan kerana sentiasa diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

“Keuntungan yang dipaparkan hanyalah paparan dalam sistem yang dikawal sindiket dan tidak boleh dikeluarkan oleh mangsa,” katanya.

Mohd Farhan berkata, mangsa terus membuat pembayaran menggunakan wang simpanan sendiri selain meminjam daripada ahli keluarga sebelum menyedari dirinya ditipu.

Akibatnya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM396,850.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan modus operandi penipuan kerja tugasan atau task scam, merchant scam dan e-commerce scam yang semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini.

“Mangsa dipujuk membuat pembayaran berulang kali dengan janji memperoleh keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, namun akhirnya mengalami kerugian besar apabila gagal mengeluarkan wang yang kononnya diperoleh,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img