DATUK Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan agar mematuhi peraturan serta menghormati etika berkempen bagi memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar.
Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas dan profesional bagi menjamin kelancaran perjalanan pilihan raya, sebaik kempen bermula.
“Bila dah mula kempen, saya harap dapat dijaga dan SPR harus jalan tanggungjawab dengan baik, bebas dan supaya dapat menjamin perjalanan PRN Johor dan Negeri Sembilan berikutnya dengan begitu baik.
“Jadi kita harap juga rakan-rakan, tadi saya sempat berbicara dengan kawan-kawan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, supaya menjaga peraturan dan menghormati etika kempen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah di Sentul Pasar hari ini.
SPR hari ini menetapkan 11 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 1 Ogos.
Penetapan tarikh itu dibuat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun dan DUN Negeri Sembilan pada 4 Jun lalu.






