BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim mahu memperbetulkan persepsi terhadap Pas yang sering dilabel sebagai parti ekstrem dan antidemokrasi selepas secara rasmi menyertai parti berkenaan.
Menurut beliau, usaha itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang akan digalas bagi membalas kepercayaan diberikan kepadanya oleh kepimpinan tertinggi Pas.
“Malam tadi saya diterima sebagai ahli Pas oleh barisan kepimpinan tertinggi parti itu di peringkat nasional. Mereka mesra, ikhlas dan ramah. Saya akan membalas kepercayaan mereka.
“Saya akan membalas kepercayaan diberikan dengan bekerja keras untuk mengubah persepsi bahawa Pas adalah parti yang ekstrem, antidemokrasi dan tidak sesuai dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia,” katanya.
Malam tadi, Mohd Zaid merupakan antara 15 individu yang diumumkan menyertai Pas dalam program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di Seremban.
Dalam masa sama, Mohd Zaid berpandangan bahawa Pas merupakan satu-satunya parti majoriti Melayu yang mempunyai kekuatan dan keazaman untuk menghapuskan ketidaksamaan, hegemoni serta keistimewaan berasaskan kelas.
Menurut bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu, inti pati Islam akan menjadi prinsip utama dalam pemerintahan yang diperjuangkan parti itu.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Pas berpotensi mentadbir Malaysia bersama Ahli Parlimen progresif yang mempunyai pemikiran sehaluan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.






