Bilal meninggal dunia selepas selesai laung azan Maghrib

BILAL Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang, Allahyarham Ahmad Haziq Jailani, 33, yang meninggal dunia selepas rebah sejurus selesai melaungkan azan Maghrib pada Ahad dikenali sebagai insan yang sentiasa mendampingi al-Quran.

Bapanya, Jailani Alib, 64, berkata, Allahyarham Ahmad Haziq sering meluangkan masa membaca al-Quran selepas menunaikan solat Maghrib atau Isyak di masjid.

“Arwah memang rapat dengan al-Quran dan memang menjadi amalannya sejak dari dulu lagi,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurut Jailani, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik juga aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Katanya, selain menjalankan tugas sebagai bilal, Ahmad Haziq turut mengajar kumpulan qasidah dan sering membantu apabila dipanggil untuk urusan berkaitan masjid atau program keagamaan.

“Arwah anak yang baik dan suka membantu orang lain, kalau ada yang perlukan pertolongan dia jarang menghampakan,” ujarnya.

Mengulas kejadian itu, Jailani berkata, dia menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan Ahmad Haziq rebah sejurus selesai melaungkan azan Maghrib di Masjid Al-Firdaus.

Katanya, jemaah yang berada di lokasi ketika itu segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.

“Waktu kejadian, jemaah tidak tahu cara untuk melakukan CPR (bantuan pernafasan) dan hanya menunggu ambulans, namun arwah ketika itu sudah tidak memberi sebarang respons,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia.

Jailani berkata, pemergian Allahyarham turut dirasai ramai apabila solat jenazah yang diadakan di Masjid Al-Firdaus pada hari ini dipenuhi jemaah.

Allahyarham Ahmad Haziq meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Jenazah Ahmad Haziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img