Tiga ditahan sindiket jual sijil cuti sakit, jururawat diburu

POLIS menahan dua lelaki dan seorang wanita bekerja sebagai tukang cuci kerana disyaki terbabit dengan kegiatan menjual sijil cuti sakit palsu di sekitar daerah Pekan hari ini.

Sijil cuti sakit rasmi dikeluarkan sebuah hospital di daerah ini, dipercayai dibekalkan seorang jururawat dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kegiatan itu terbongkar selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan menerima maklumat mengenai kegiatan penjualan sijil cuti sakit menggunakan dokumen rasmi kerajaan di daerah ini pada 12 Mei lalu.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada seorang individu mendakwa membeli sijil cuti sakit dikeluarkan sebuah klinik kerajaan daripada seorang lelaki dipercayai sebagai orang tengah.

“Berdasarkan maklumat itu, PKD Pekan menjalankan siasatan dalaman dan mendapati dokumen rasmi kerajaan berkenaan menggunakan nama, cop dan tandatangan seorang pegawai perubatan.

“Bagaimanapun pegawai perubatan itu sudah bertukar ke hospital di luar daerah Pekan sejak 2023. Susulan itu PKD Pekan membuat laporan polis pada 10 Jun lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 33 tahun di Kampung Marhum dan Kuala Pekan, Pekan jam 3 petang tadi.

Menurutnya, kesemua suspek disyaki bertindak sebagai orang tengah untuk menjual sijil cuti sakit palsu itu.

Katanya, polis sedang mengesan seorang jururawat sebuah klinik kerajaan disyaki dalang utama menjual sijil cuti sakit rasmi kerajaan kepada dalam sindiket terbabit.

“Hasil siasatan mendapati dokumen dikeluarkan secara palsu itu adalah sebahagian daripada buku sijil cuti sakit rasmi kerajaan.

“Sindiket terbabit dipercayai menjual sijil cuti sakit itu antara RM50 dan RM200,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img